"Dan tepatilah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang lurus. Itulah yang lebih baik, dan lebih baik kesudahannya." (17:35)

Khamis, Oktober 02, 2014

Wanita dibunuh, dibakar kekasih

ANGGOTA forensik membawa bungkusan serpihan tulang dipercayai milik mangsa di Kampung Tok Keramat, Juru, semalam.
BUKIT MERTAJAM 1 Okt. - Kerana sayang, seorang wanita sanggup berkunjung ke rumah teman lelakinya di Kampung Tok Keramat, dekat Juru di sini, dua minggu sekali untuk menghantar makanan.

Namun kunjungan kelmarin, menjadi yang terakhir buat wanita tersebut yang hanya dikenali sebagai Intan apabila dia dipercayai dibunuh oleh kekasihnya berusia 43 tahun di rumah yang didiami lelaki itu bersama dua anak saudaranya.

Lebih menyedihkan, mayat wanita berusia lewat 20-an itu dipercayai turut dibakar dan ditanam berhampiran rumah yang terletak di hujung kampung berkenaan.

Menurut abang ipar lelaki itu yang hanya ingin dikenali sebagai Mi, Intan yang berasal dari Teluk Air Tawar dekat sini, kali terakhir datang ke rumah tersebut petang kelmarin sebelum berlaku pertengkaran dengan suspek yang merupakan seorang penagih dadah.

Katanya, suspek yang dipanggil Pak Andak oleh anak-anak saudaranya kemudian dipercayai membunuh Intan sebelum bertindak membakar dan menanam mayat tersebut pagi semalam.

"Anak saya yang tinggal di rumah itu bersama Pak Andak ada rasa curiga apabila ternampak Intan seperti tidak bergerak di ruang tamu rumah namun tidak bertanya lanjut ketika pulang dari kerja malam kejadian.

"Namun pagi semalam, isteri saya terjumpa longgokan pakaian yang dipenuhi kesan darah di hadapan pintu rumah dan apabila ditanya, Pak Andak segera membawa pakaian itu ke dalam bilik air dan dibasuh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Mi, lebih mencurigakan, kira-kira pukul 10 pagi semalam, anaknya dan seorang jiran ternampak Pak Andak membawa cangkul keluar dari semak yang terletak kira-kira 50 meter dari rumahnya dalam keadaan badan dipenuhi lumpur.

Selain itu, mereka juga ternampak kesan seperti terbakar dari kawasan semak berhampiran namun tidak bertanya lanjut sebelum Pak Andak melarikan diri menggunakan motosikal milik Intan, kira-kira pukul 2 petang.

Menurut Mi, isterinya yang sangsi dengan keadaan itu kemudian memeriksa longgokan tempat terbakar berkenaan sebelum menjumpai serpihan tulang dan rahang manusia dengan kesan terbakar di situ.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah pula menemukan kesan darah pada lantai di ruang tamu yang dibersihkan secara tergesa-gesa dan bau hanyir memenuhi rumah itu.

"Kami kemudian membuat laporan polis lewat petang semalam sebelum pasukan polis tiba dan membuat pemeriksaan di sekitar rumah ini sehingga pukul 2 pagi tadi dan operasi disambung hari ini," ujarnya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, suspek ditahan di Bandar Baharu dekat Kulim, Kedah, pukul 4.45 petang di rumah salah seorang ahli keluarganya.

"Suspek kemudian dibawa ke lokasi mayat ditanam. Kita telah jumpa keseluruhan mayat yang kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

"Polis percaya kes dapat diselesaikan dan suspek yang memiliki 12 rekod jenayah lampau akan dibawa ke Mahkamah Bukit Mertajam untuk direman," ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141002/je_05/Wanita-dibunuh-dibakar-kekasih#ixzz3Eyg4iwAZ © Utusan Melayu (M) Bhd 

Kerani Conveyancing Separuh Masa

peguambela & peguamcara


Kriteria-kriteria yang diperlukan:-

1. Wanita sahaja
2. Mempunyai 2 tahun pengalaman (minima) dan mahir mengendalikan fail-fail conveyancing
3. Boleh bekerja dari rumah
4. Menepati masa, komited , berdisplin, berdikari, bertanggungjawab, rajin, sopan, jujur & amanah
5. Mempunyai kenderaan sendiri
6. Tinggal di sekitar Kulim

Kekosongan ini juga terbuka kepada kerani conveyancing yang masih bekerja tetapi berminat dan mampu memberikan komitmen yang baik dengan fail-fail yang dipertanggungjawabkan. Sila emailkan surat permohonan rasmi dan resume lengkap beserta gambar terkini untuk memohon. Sebarang pertanyaan lanjut juga boleh dibuat melalui email. 

Rabu, Oktober 01, 2014

Wanita, teman lelaki direman kes bunuh anak sendiri

kes bunuh
Seorang wanita (gambar kanan) dan teman lelakinya dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Bukit Mertajam selepas mendapat perintah reman untuk membantu siasatan kes penemuan mayat seorang budak di Kampung Tongkang, Permatang Tinggi, Pulau Pinang, semalam. - AZMAN ASMAYATIMA
BUKIT MERTAJAM 30 Sept. - Seorang wanita dan teman lelakinya direman tujuh hari sehingga 6 Oktober ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan anaknya yang berusia lima tahun, dua minggu lalu.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Mohd. Fitri Sadarudin selepas wanita berusia 30-an itu dan teman lelakinya yang berusia 24 tahun dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 1.50 petang ini.

Semalam, mayat kanak-kanak malang itu ditemui di kawasan semak di ladang kelapa sawit berhampiran Kampung Tongkang, Permatang Tinggi dekat sini, selepas wanita itu didakwa mengaku memukul anaknya sehingga mati kira-kira pukul 4.30 petang, 20 September lalu di Kulim, Kedah.

Terdahulu dia mendakwa anak lelakinya itu hilang ketika bersiar-siar di Padang Kota dekat sini pada 24 September lalu sebelum membuat laporan polis.

Ketika ditemukan mayat mangsa lengkap berpakaian dan dibungkus dengan selimut serta terdapat beberapa kesan gigitan pada badannya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20141001/ma_02/Wanita-teman-lelaki-direman-kes-bunuh-anak-sendiri#ixzz3Eya3pPQS © Utusan Melayu (M) Bhd 

Jawatan Kosong

Kami sedang mencari calon-calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan-kekosongan berikut di firma kami:-
    A. Pelajar Praktikal (Practical/ Attachment Student)
      B. Pelatih Dalam Kamar (Chambering Student)
        C. Legal Trainee
          D. Perantis (Apprentice)
            E. Kerani (berpengalaman sahaja)

            Calon-calon mestilah memenuhi kriteria-kriteria berikut:-

            A. PELAJAR PRAKTIKAL (PRACTICAL/ ATTACHMENT STUDENT) 
            1. Lelaki/Wanita berumur 18 hingga 25 tahun sahaja (belum berkahwin)
            2. Pelajar IPTA/IPTS yang diiktiraf
            3. Boleh menggunakan komputer dengan baik
            4. Mempunyai tulisan tangan yang cantik & kemas
            5. Berperwatakan menarik, komited, berdisplin, berdikari, bertanggungjawab, rajin, sopan, jujur & amanah
            6. Berminat dengan ilmu undang-undang
            7. Mempunyai kenderaan sendiri

            B. PELATIH DALAM KAMAR (CHAMBERING STUDENT) 
            1. Lelaki/Wanita berumur 18 hingga 25 tahun sahaja (belum berkahwin)
            2. Graduan Undang-Undang dari IPTA/IPTS yang diiktiraf
            3.Mempunyai tulisan tangan yang cantik & kemas
            4. Berperwatakan menarik, komited, berdisplin, berdikari, bertanggungjawab, rajin, sopan, jujur & amanah 
            5. Mempunyai kenderaan sendiri

            C. LEGAL TRAINEE/ PERANTIS (APPRENTICE)
            1. Wanita berumur 18 hingga 25 tahun sahaja (belum berkahwin)
            2. Pengalaman tidak diperlukan (akan diberi latihan)
            3. Graduan menganggur yang tidak memilih kerja dan mahu bermula dari bawah boleh dipertimbangkan
            4. Lulus SPM dengan kredit BM, lulus BI & Matematik (minima)
            5. Boleh menggunakan komputer dengan baik
            6. Mempunyai tulisan tangan yang cantik & kemas
            7. Berperwatakan menarik, komited, berdisplin, berdikari, bertanggungjawab, rajin, sopan, jujur & amanah 
            8. Berminat dengan ilmu undang-undang
            9. Mempunyai kenderaan sendiri
            10. Tinggal di sekitar Kulim

            D. KERANI (berpengalaman sahaja)
            1. Wanita berumur 22 hingga 30 tahun sahaja 
            2. Mempunyai 2 tahun pengalaman (minima) bekerja di firma guaman dan mahir mengendalikan kes-kes litigasi & conveyancing
            3. Mempunyai tulisan tangan yang cantik & kemas
            4. Berperwatakan menarik, komited, berdisplin, berdikari, bertanggungjawab, rajin, sopan, jujur & amanah 
            5. Mempunyai kenderaan sendiri
            6. Tinggal di sekitar Kulim

            Permohonan adalah terbuka pada bila-bila masa. Sila emailkan surat permohonan rasmi dan resume lengkap beserta gambar terkini untuk memohon.

            Jumaat, September 26, 2014

            Perogol bersiri dijel 45 tahun, 16 sebatan

            Ambar & Azah
            Mohamad Khairi Bahauddin
            IPOH 25 Sept. - Seorang perogol bersiri berhadapan kemungkinan menghabiskan sisa hidupnya di dalam penjara apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 45 tahun berserta sebatan 16 kali terhadapnya atas kesalahan rogol dan samun empat tahun lalu.

            Keputusan berkenaan dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Noorin Badaruddin terhadap Mohamad Khairi Bahauddin, 32, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan supaya kesemua hukuman bagi lima pertuduhan yang dihadapinya dilaksanakan secara berasingan.

            Sebelum ini, Mahkamah Sesyen pada 26 Mac lalu memerintahkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan lima kali masing-masing terhadap dua pertuduhan merogol yang dihadapi oleh Mohamad Khairi dan hukuman penjara lima tahun serta sebatan dua kali masing-masing atas tiga kesalahan merompak, dijalankan serentak.

            Walau bagaimanapun, dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi itu menyaksikan Mohamad Khairi akan menjalani hukuman secara berasingan, sekali gus menjadikannya hukuman penjara selama 45 tahun dan sebatan 16 kali bermula Februari 2016.

            Hukuman itu akan berkuat kuasa selepas Mohamad Khairi selesai menjalani hukuman penjara lapan tahun dan sebatan lima kali atas kesalahan merogol seorang gadis berusia 18 tahun di dalam tandas awam, pusat makanan Glutton Square, Teluk Intan pada 19 April 2010.

            Mohamad Khairi yang juga merupakan seorang nelayan kelihatan tenang ketika keputusan itu dibacakan terhadapnya.

            Noorin dalam penghakimannya berkata, selepas meneliti rekod jenayah dan modus operandi tertuduh mendapati, Mohamad Khairi tidak mendapat undang-undang simpati dan belas kasihan daripada mahkamah memandangkan kesalahan dilakukannya adalah berat serta berulang kali sekali gus mendatangkan trauma kepada mangsa.

            "Responden (Mohamad Khairi) tidak sesuai berada bersama masyarakat, jadi mahkamah menerima rayuan pendakwaan agar hukuman dijalankan secara berasingan.

            "Responden perlu diasingkan daripada masyarakat memandangkan kesalahan yang dilakukannya boleh mengancam mereka dan sebahagian besar usianya dihabiskan di dalam penjara supaya mendatangkan kebaikan kepadanya," katanya.

            Mohamad Khairi yang diwakili peguam Mohamad Hafiz Jalaludin dihukum atas kesalahan merogol dua gadis berusia 17 dan 18 tahun serta menyamun seunit telefon bimbit jenama Sony Ericsson, seunit pemain cakera padat dan wang tunai berjumlah RM500 milik kedua-dua mangsa.

            Selain itu, tertuduh yang masih bujang turut menyamun seunit telefon bimbit Sony Ericsson W995 bersama-sama wang tunai RM40 milik seorang lagi gadis berusia 17 tahun.

            Perbuatan berkenaan dilakukan tertuduh di antara pukul 6.40 pagi dan 7.15 pagi, 7 Ogos 2010 di No.30, Lebuh Perajurit 3, Taman Ipoh Timur di sini.

            Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling dan Muhammad Fauzi Md. Yusof.

            Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20140926/ma_01/Perogol-bersiri-dijel-45-tahun-16-sebatan#ixzz3EydME1BW © Utusan Melayu (M) Bhd